Abstrak Kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti aplikasi pendekatan konstruktivisme dalam pengajaran kemahiran menulis karangan Bahasa Melayu. Peserta kajian terdiri daripada tiga orang guru bahasa Melayu yang mengajar Tingkatan Dua di dua buah sekolah di daerah Papar. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan data dikumpulkan menggunakan rakaman video dan analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan bahawa para peserta kajian telah mengaplikasikan pendekatan pengajaran konstruktivisme dalam pengajaran kemahiran menulis karangan untuk mata pelajaran bahasa Melayu. Beberapa ciri pendekatan konstruktivisme didapati telah diaplikasikan antaranya penekanan terhadap proses untuk mencapai hasil pembelajaran, penggunaan pengetahuan sedia ada dalam membina pengetahuan baharu dan strategi pengajaran berpusatkan pelajar. Kajian juga menunjukkan bahawa penggunaan pendekatan ini dalam pengajaran dan pembelajaran mewujudkan satu persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar.